Jan 23, 2010

SULTAN JOHOR MANGKAT

JOHOR BAHARU, 22 Jan 2010.Sultan Johor Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat pada Jumaat malam selepas memerintah Johor hampir tiga dekad.
Baginda mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera-puteri.
Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.Tiga tahun kemudian pada 15 Nov 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.Petang ini, putera sulung baginda Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail dimasyhurkan Pemangku Raja dan istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Besar Johor.
Berita mengenai kegeringan Sultan Iskandar diumumkan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad pada pukul 5 petang.Almarhum merupakan putera ketiga Almarhum Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim dan cicinda kepada Bapa Johor Moden Almarhum Sultan Abu Bakar.Sultan Iskandar, yang merupakan Sultan Johor keempat dalam sejarah Johor moden, menerima pendidikan awal di Johor Baharu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Australia dan United Kingdom.
Baginda yang merupakan Kolonel Yang Dipertua, Rejimen Perkhidmatan Khas Malaysia (Komando), sering kelihatan memakai uniform tentera pada upacara rasmi kerana minatnya dalam bidang ketenteraan.Nama Almarhum terpahat pada sekolah, acara sukan seperti Kejohanan Golf Terbuka Iskandar dan juga koridor pembangunan selatan Johor iaitu Iskandar Malaysia.
Abdul Ghani turut ditanya pemberita tentang punca kemangkatan baginda, tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut."Semoga dicucuri rahmat yang berlebih-lebihan ke atas roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan itu," katanya pada sidang media yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Latif Yusof dan Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli.
Turut berada pada sidang media itu ialah Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.Menteri Besar berkata, perangkatan jenazah baginda Sultan Johor ke Makam Diraja Bukit Mahmoodiah akan bermula pada 1.30 petang hari ini.
Rakyat Johor menurut beliau, boleh menziarah jenazah baginda di Istana Besar mulai 9 pagi hari ini, manakala tempoh ziarah bagi orang kenamaan dijadualkan bermula pada 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.Sementara itu dalam sidang medianya, beliau turut meminta rakyat dan penduduk negeri ini supaya berkabung mulai hari ini sehingga pemakaman jenazah Almarhum Duli Yang Maha Mulia selama tujuh hari.
Manakala bagi kerabat-kerabat diraja pula katanya, tempoh perkabungan adalah selama 40 hari mulai hari ini.Abdul Ghani berkata, bendera negeri dinaikkan separuh tiang mulai malam semalam selama tujuh hari dan membatalkan segala bentuk hiburan dan permainan sepanjang hari pemakaman baginda.
Beliau juga mengarahkan semua masjid dan surau negeri ini supaya mengadakan majlis bacaan tahlil dan doa ke atas roh baginda selepas fardu Maghrib selama tujuh hari mulai hari ini.Sementara itu, jenazah almarhum Sultan Iskandar kelihatan dibawa ke Istana Besar pada 11.22 malam.Van jenazah yang membawa jenazah baginda dilihat meninggalkan Hospital Pakar Puteri sambil diiringi berpuluh buah motosikal pengiring trafik, kenderaan kerabat diraja Johor, anggota-anggota exco kerajaan negeri Johor dan Timbalan Setia Negeri Johor (JMF).
Perkarangan hospital tersebut dikawal ketat oleh anggota polis, JMF dan juga Rela berikutan kehadiran ramai petugas media termasuk dari Singapura dan juga rakyat jelata.Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah merupakan yang terawal menziarahi almarhum.
Turut melawat almarhum adalah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Datuk Halimah Sadique, dan Ketua Eksekutif Johor Corporation Tan
Sri Muhammad Ali Hashim.
-AL-FATIHAH-

No comments:

Post a Comment

RM20 SEGERA MASUK KE AKAUN ANDA TIAP-TIAP HARI