Jan 19, 2010

Wanita dan cabaran dunia hari ini

Keadilan Allah s.w.t menetapkan bahawa setiap ciptaan-Nya adalah berpasang-pasang seperti mana firman-Nya dalam surah al-Dzaariyat ayat 49 yang bermaksud: “Dari tiap satu itu Kami jadikan pasangannya supaya kamu ingat memperingati.”
Apabila Allah menciptakan Adam, dia disempurnakan dengan kehadiran Hawa, dan begitulah dengan penciptaan lelaki dilengkapkan dengan wanita. Kedua-dua mereka bergerak bergandingan dan peranan mereka adalah saling lengkap melengkapi, bukannya bersaing mencari siapa yang lebih kuat.
Kepesatan pembangunan menuntut kepada penglibatan wanita, bukan saja kerana jumlah wanita yang semakin ramai dan kebolehan dan ketrampilan yang ditunjukkan oleh wanita mendesak sumbangan mereka.
Kemajuan pelajaran anak-anak kita memerlukan kepada kos yang semakin meningkat untuk menjamin masa depan mereka. Segala kos belajar seperti kelas tambahan terpaksa ditanggung. Keadaan ekonomi dengan kos kehidupan yang semakin tinggi menuntut wanita turut menyumbang dalam pembangunan. Bahkan boleh dikatakan majoriti lelaki yang ingin berkahwin kebanyakannya memilih wanita bekerja sebagai pasangan. Pendapatan mereka yang sederhana memerlukan kepada isteri turut menyumbang dalam menambah pendapatan keluarga.
Dalam masa yang sama wanita mesti menjamin dirinya sendiri dengan sumber pendapatan. Jika ada apa yang berlaku pada dirinya dia akan dapat berdikari dan masa depannya lebih terjamin jika ditakdirkan jodoh tidak panjang yang memerlukan wanita membesarkan anak bersendirian.
Penglibatan wanita dalam dunia hari ini sudah begitu terserlah. Dalam bidang apa sekalipun di sana ada wanita yang menerokainya. Di sana juga ada bidang yang sesuai hanya dikendalikan oleh wanita.
Terjunnya wanita dalam semua bidang ini tidak boleh dilihat sebagai ancaman yang menggugat kedudukan lelaki tetapi sebaliknya merupakan satu persaingan yang sihat untuk kemajuan sesebuah negara. Peranan wanita juga tidak terkecuali dalam soal yang berkait dengan kepimpinan. Di dalam al-Quran sendiri Allah s.w.t telah mengiktiraf kepimpinan Ratu Balqis dengan diabadikan kisahnya untuk tatapan umat hingga hari ini. Barisan sahsiah agung yang mengiringi kepimpinan Rasulullah s.a.w ialah nama-nama wanita seperti Ummul Mukminin Khadijah, Asma binti Abu Bakar, Nusaibah dan lain-lain lagi.
Keberanian Mashitah – tukang andam anak Firaun yang menggugat kedudukan politik Firaun bagaikan masih harum terhidup bau kuburnya. Jika dikaji sirah Rasulullah s.a.w dari sudut politik, ekonomi dan masyarakat wanita diberi hak sepenuhnya untuk menyertai bidang ini.
Penglibatan dalam politik umpamanya terserlah dengan penyertaan mereka dalam penghijrahan dari Mekah ke Habsyah, dari Mekah ke Madinah. Ketika kaum lelaki sibuk berbaiah dengan Nabi, wanita juga diberi peluang yang sama untuk berbaiah. Apabila membincangkan soal politik yang berkaitan dengan pengunjung Kaabah, Rasulullah s.a.w sentiasa sahaja berbincang dengan Aisyah.
Di dalam Islam, wanita berhak sepenuhnya memilih pemimpin, menyokong atau menentang pemilihan bahkan berhak untuk dipilih sebagai pemimpin jika ada kemampuan. Di zaman Umar al-Khattab, beliau sendiri tidak teragak-agak memilih wanita dalam senarai pucuk kepimpinan.
Masalah sebenarnya bukanlah kekurangan contoh untuk ditonjolkan tentang penglibatan wanita dalam apa bidang sekalipun tetapi bagaimana hendak menyedarkan kedua-dua pihak tentang keperluan yang serius terhadap sumbangan wanita.
Status qawwamah yang dijanjikan Allah adalah milik abadi mereka dengan syarat mereka berusaha merealisasikan potensi yang dianugerahkan.
Lingkungan peranan wanita perlu dijanakan lebih luas lagi. Kebolehan dan potensi yang ada mesti dikenal pasti dan pada seterusnya dimanfaatkan untuk masyarakat.
Masih ramai lagi wanita sendiri yang menganggap tugas mereka terbatas di sekeliling rumah sahaja.
Apabila ada yang memperkatakan soal politik, negara, undang-undang, perbincangan serius, wacana dan sebagainya, wanita terasa seolah bukan mereka orang yang sepatutnya membincangkan persoalan begini. Perasaan ini mesti dikikis dari sanubari wanita jika mereka mahu melangkah atau mahu nama-nama baru terus tersenarai bertambah dalam rekod sejarah yang telah ada.
Wanita mesti berubah supaya masyarakat lebih yakin dengan kemampuan dan kebolehan mereka. Jika ada dari kalangan wanita, mereka yang berkebolehan yang boleh ditonjolkan sebagai role model, sokongan padu perlulah diberi.
Kefahaman yang jelas tentang sejauh mana kedudukan wanita dalam negara perlu dipertingkatkan. Penafsiran yang tepat tentang ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan wanita perlu diperjelaskan supaya salah faham yang membataskan peranan mereka diperbetulkan. Kita memerlukan lebih ramai wanita yang menulis tentang wanita dari pengalaman mereka menjadi wanita. Rata-rata buku tentang peranan wanita tugas mereka ditulis oleh penulis lelaki yang tidak mengalami sendiri perasaan wanita.
Sesungguhnya wanita adalah makhluk istimewa daripada Allah. Terserahlah bagi manusia sendiri untuk menilai dan memanfaatkan kehadirannya.

No comments:

Post a Comment

RM20 SEGERA MASUK KE AKAUN ANDA TIAP-TIAP HARI