Feb 5, 2010

KETUA PENOLONG PENGARAH SIASATAN JKSK BUKIT AMAN MAUT DALAM KEMALANGAN

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Ketua Penolong Pengarah Siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, SAC II Mohd Hazam Abd Halim maut dalam kemalangan di KM 419.7 Lebuhraya Utara-Selatan menghala susur masuk Bukit Tagar, Hulu Selangor tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu, kereta Proton Perdana yang dipandu pemandunya, Lans Koperal Asminton Salimin dipercayai terbabas dan melanggar belakang sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan.

Mohd Hazam, 50, ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke ibu negara dari Ipoh, selepas menghadiri mesyuarat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Perak.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Norel Azmi Affandi Yahya berkata Mohd Hazam yang duduk di kerusi penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandunya yang cedera parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan kini mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Jumaat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Nooryah Md Anvar yang dihubungi berkata jenazah Allahyarham dimandi dan dikapankan di Hospital Kuala Kubu Baru sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Taman Tunku Jaafar, Seremban.

Jenazah akan dikebumikan selepas sembahyang Jumaat di Makam Haji Said, Taman Tunku Jaafar.

Sebelum ini, Mohd Hazam pernah menyandang jawatan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu.

No comments:

Post a Comment

RM20 SEGERA MASUK KE AKAUN ANDA TIAP-TIAP HARI